Friday, September 5, 2008

Analisis pasaran - 31.8.08

Saham dijangka tinggi minggu ini
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Saham-saham di Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu ini hasil sokongan pengumuman Bajet 2009, dengan insentif dan habuan yang menggembirakan pelabur, kata peniaga.

Seorang peniaga yang menyifatkan bajet kali ini sebagai mesra rakyat berkata, pengumuman itu dijangka merangsang dan meningkatkan pasaran minggu ini.

"Bajet akan membantu menangani kitaran perbelanjaan, kejutan inflasi serta keadaan sukar dalam ekonomi negara," katanya yang menambah bajet kali ini pada umumnya bertujuan memperkukuhkan permintaan dalam negara sebagai penampan yang berdaya maju berdasarkan keadaan global yang tidak menentu.

Beliau berkata, faktor-faktor luaran seperti pemulihan di Wall Street dan pergerakan pasaran serantau juga dijangka menyediakan rangsangan kepada pasaran tempatan.

"Namun peningkatan ini mungkin terhad, memandangkan kebanyakan pelabur terus berhati-hati terhadap ketidaktentuan dalam pasaran global terutama fundamental ekonomi Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Pada Jumaat, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua minggu pada 1,100.50 apabila pasaran bertindak balas secara positif terhadap pengumuman bajet.

Mengikut asas Jumaat-ke-Jumaat, IKKL meningkat 14.9 mata kepada 1,100.50 berbanding 1,085.60 Jumaat lepas.

Indeks Perusahaan menokok 55.61 mata kepada 2,293.15 berbanding 2,237.54, Indeks Kewangan menokok 329.41 mata kepada 8,771.66 berbanding 8,542.25 manakala Indeks Perladangan susut 64.13 mata kepada 5,779.54 berbanding 5,843.67.

Bagi siri Indeks Financial Times Stock Exchange-Bursa Malaysia (FTSE-BM), FBMEmas menokok 72.63 mata kepada 7,313.56 berbanding 7,240.93, FBM30 meningkat 104.98 kepada 7,086.56 berbanding 6,981.58, FBM2BRD menokok 2.77 mata kepada 5,201.74 daripada 5,198.97 dan FBMMdq susut 24.32 mata kepada 4,233.19 berbanding 4,257.51.

Jumlah dagangan menokok kepada 1.757 bilion saham bernilai RM3.653 bilion berbanding 1.696 bilion saham bernilai RM3.393 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan di Papan Utama susut kepada 1.416 bilion unit bernilai RM3.572 bilion berbanding 1.435 bilion unit bernilai RM3.334 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan di Papan Kedua susut kepada 114.712 juta saham bernilai RM53.736 juta berbanding 99.424 juta saham bernilai RM36.120 juta Jumaat lepas.

Di pasaran Mesdaq, jumlah dagangan menokok kepada 95.293 juta unit bernilai RM23.991 juta berbanding 52.586 juta unit bernilai RM18.963 juta sebelum ini.

Waran opsyen belian menokok kepada 130.573 juta saham bernilai RM4.025 juta berbanding 110.729 juta saham bernilai RM3.388 juta sebelumnya.

Urus niaga langsung susut kepada 409.581 juta unit bernilai RM1.091 bilion berbanding 452.669 juta unit bernilai RM883.155 juta sebelumnya.

- Bernama

No comments: