Friday, September 5, 2008

Ulasan Pasaran: Pasaran dijangka meningkat

Ulasan Pasaran: Pasaran dijangka meningkat

Susulan lanjutan pantulan teknikal yang berlaku pada Jumaat lalu

KEBIMBANGAN kerugian berterusan pasaran kredit Amerika Syarikat (AS) susulan krisis subprima, petunjuk teknikal lemah dan ketidaktentuan politik domestik, memberi tekanan kepada pasaran saham tempatan minggu lalu, menyebabkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencatat paras terendah dalam tempoh 20 bulan.

Pada asas mingguan, KLCI susut 9.45 mata atau 0.9 peratus untuk ditutup pada 1,085.6 mata, dengan purata jumlah dagangan kekal rendah pada 339.6 juta saham, berbanding purata 326 juta saham minggu sebelumnya.

Penurunan harga runcit petrol dan diesel lebih awal adalah langkah tepat dalam menangani tekanan inflasi tolakan kos yang dialami ketika ini.

Ia sudah tentu memberi petanda bahawa inflasi sudah mencapai kemuncaknya pada Julai dan IHP seluruh tahun ini kembali menyederhana kepada purata 5-5.5 peratus, sebelum susut tahun depan.

Risiko kepada aliran menurun harga minyak mentah global kini adalah aliran peningkatan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) sejak enam minggu lalu.

Namun, kenaikan dolar AS dijangka berlaku untuk tempoh sementara, dan berdasarkan asas ekonomi AS yang masih tidak menentu, kelemahan dolar sudah pasti akan melonjakkan kembali harga minyak mentah.

Penurunan harga runcit petrol dan diesel domestik, walaupun harganya akan disemak sebulan sekali, berserta jangkaan berita baik dalam Bajet 2009, tentunya akan menceriakan pengguna.

Bagaimanapun, sebarang keceriaan kepada pasaran dijangka terhad minggu ini saja, susulan sentimen berhati-hati berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh esok.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang, ia bakal menimbulkan gangguan kepada pentadbiran semasa dan pelabur akan kekal berada di luar pasaran sehingga ketidaktentuan itu reda.

Mengenai Bajet 2009, sudah hampir pasti kerajaan dijangka memberikan suntikan bagi merangsang ekonomi domestik susulan penurunan permintaan luaran.

Bajet 2009 akan menjadi bajet pengembangan dan perbelanjaan kasar kerajaan dijangka bertumbuh 9.8 peratus kepada RM52.8 bilion.

Peruntukan pengembangan dijangka disalurkan kepada segmen perkhidmatan ekonomi dan penekanan utama dijangka disalurkan bagi mempertingkatkan perbelanjaan awam dan menyokong permintaan domestik, yang terjejas ekoran tekanan inflasi.

Lebih banyak pendekatan juga dijangka diperkenalkan bagi menaikkan pendapatan boleh guna rakyat.

Ia merangkumi peningkatan paras minimum pengenaan cukai; menaikkan elaun pelepasan cukai individu; menambahkan peruntukan tabung bantuan pendidikan, menyediakan pilihan pekerja mengurangkan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan menurunkan kadar cukai pendapatan kepada 25 peratus daripada 28 peratus.

Tiga sektor yang dijangka mendapat manfaat besar dalam Bajet 2009 adalah pengguna, hartanah dan pengangkutan.

Sementara itu, pasaran saham awal minggu ini dijangka meningkat susulan lanjutan pantulan teknikal yang berlaku pada Jumaat lalu. Turut menyokong jangkaan kenaikan adalah kenaikan pasaran saham AS hujung minggu lalu didorong penurunan semula harga minyak mentah global.

Namun, pembetulan pasaran dijangka berlaku ke atas kaunter perladangan dan ketidaktentuan politik menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh esok akan mengehadkan kenaikan.

Paras terendah pada 21 Julai, iaitu 1,089 mata dan paras psikologi 1,100 mata menjadi paras sokongan semasa sementara paras halangan kukuh pula 1,120 mata.

No comments: