Saturday, August 2, 2008

Artikel dari Berita Harian

Bijak Menabung: Melabur untuk persaraan

Berita Harian

HIDUP adalah satu pengembaraan yang panjang, tindakan yang diambil hari ini menentukan nasib masa depan. Earl Nightingale ada berkata: Apa yang anda perlu lakukan adalah membuat perancangan, merangka peta perjalanan dan keberanian untuk terus menuju destinasi.

Apapun yang dilakukan perlu ada perancangan kerana nasib seseorang itu tidak akan berubah kecuali dia sendiri mahu mengubahnya. Mungkin kehidupan masa kini kurang menyenangkan, penuh dugaan dan cabaran, namun ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memulakan lembaran baru kerana dalam istilah kamus kehidupan manusia, tidak seharusnya ada perkataan `terlalu lambat`.

Dalam hidup, anda tidak mungkin dapat mengubah permulaan yang sudah anda buat, tetapi anda boleh menentukan bagaimanakah bentuk penghujung kehidupan yang ingin anda jalani.Sekalipun baru sekarang anda mula menabung, ia masih belum terlambat asalkan anda mengetahui betapa pentingnya mempunyai tabungan untuk diri sendiri.

Arus kehidupan tidak menentu, ada ketikanya hidup kita mudah dan mewah, tetapi ada waktunya sempit dan sesak.Dengan menabung, anda menjadi manusia merdeka yang tidak bergantung pada orang lain ataupun meminjam daripada kad kredit untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas menentukan matlamat tabungan anda itu, sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang, dan memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada wang gaji anda untuk disimpan setiap bulan, anda perlu fikirkan di manakah seharusnya anda menyimpan wang anda itu.Banyak instrumen pelaburan yang ada di negara ini, contohnya anda boleh menyimpan dalam akaun simpanan tetap, Amanah Saham Bumiputera (ASB), akaun simpanan biasa atau anda boleh menabung dengan melabur dalam Saham Amanah.

Anda perlu kaji mana satu instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi sesuai dengan matlamat pelaburan anda. Selain menabung untuk saat kecemasan, pendidikan anak, ramai yang tidak berfikir untuk menyediakan tabungan persaraan.Persaraan sering kali diabaikan kerana yang selalu bermain dalam fikiran kita, tempohnya masih jauh, apabila bersara ada wang pencen ataupun ada dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila usia menginjak 55 tahun.

Hakikatnya apabila wang KWSP dikeluarkan, ketika itulah ramai yang mengambil kesempatan membesarkan rumah bagi kemudahan anak cucu yang datang menziarah, wang itu jugalah yang akan digunakan untuk pembiayaan anak untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, wang itu juga digunakan untuk mengadakan majlis perkahwinan anak, untuk menunaikan haji dan umrah ataupun melancong.Ada juga yang menggunakan wang persaraan untuk memulakan perniagaan sedangkan risiko perniagaan amat tinggi. Jika perniagaan tidak menjadi, wang persaraan yang sepatutnya diguna untuk membiayai hidup, akan lebur dan hangus. Ketika inilah ibu bapa yang sudah berusia itu terpaksa meletakkan penggantungan mereka kepada anak sedangkan anak pula mempunyai komitmen mereka sendiri.

Tidak menghairankan jika kita dapati ramai pesara terutama daripada kalangan berpendapatan sederhana terpaksa bekerja semula sama ada menjadi pengawal keselamatan, pembantu stesen minyak ataupun berjualan kecil-kecilan dengan berniaga nasi lemak.

Mengikut laporan KWSP, 72 peratus daripada pencarum yang mengeluarkan wang simpanan mereka daripada KWSP menghabiskan wang itu dalam tempoh tiga tahun. Bayangkan, apa akan berlaku sekiranya dalam usia begitu, kita tidak mempunyai wang untuk hidup.Ramai beranggapan kita tidak perlukan banyak wang ketika bersara kerana semua anak sudah besar dan bekerjaya sedangkan hakikatnya ketika ini kita ingin mengekalkan gaya hidup sihat dan berkualiti. Sumber pendapatan bulanan sudah tiada, tetapi perbelanjaan seharian masih berterusan. Akan timbul perbelanjaan tambahan seperti perbelanjaan perubatan kerana apabila usia semakin meningkat, keadaan kesihatan semakin menurun.

Kajian menunjukkan jangka hayat manusia semakin panjang dengan adanya kecanggihan teknologi perubatan. Kajian daripada Jabatan Statistik Malaysia (2004), jangka hayat lelaki meningkat pada 70.3 tahun manakala jangka hayat perempuan, 76.2 tahun dibandingkan masing-masing 69.4 tahun dan 73.6 tahun pada 1992.Andaikan RM668,200 diperlukan untuk membiayai kehidupan persaraan selama 20 tahun. Kita perlukan tambahan RM79,000 untuk hidup lima tahun lagi dan RM136,000 untuk hidup 10 tahun. Andaian ini dibuat berdasarkan pendapatan persaraan setahun RM60,000 dan dilaburkan dalam instrumen pelaburan yang memberi kadar pulangan enam peratus setahun.

Mengikut kajian, kita dapat bersara dengan selesa apabila mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus daripada gaji bulanan diterima ketika bekerja.Bagi tujuan persaraan ini, anda tidak seharusnya mengharapkan saja wang pencen ataupun wang KWSP untuk membiayai kehidupan bersara. Bagi meningkatkan tabungan persaraan, KWSP sejak 1995 lagi sudah memberi kebenaran kepada pencarumnya mengeluarkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk dilaburkan dalam saham amanah.

Ramai yang tidak menyedari perkara ini dan ada juga yang mengetahui, tetapi tidak mahu mengambil risiko. Mereka lebih rela simpanan mereka dimamah inflasi.Bagi meningkatkan tabungan, anda boleh menyediakan akaun persaraan kedua iaitu dengan menabung secara konsisten setiap bulan. Bayangkan, apabila anda memperuntukkan RM200 sebulan dan melabur secara konsisten selama 35 tahun dalam instrumen pelaburan yang mampu memberi purata pulangan tahunan12 peratus, apabila bersara anda mempunyai RM1.2 juta.Buka minda dan jadilah pelabur berwawasan!

p/s:- unit trust public mutual ada menyediakan pelaburan utk anda yg berminat melabur menggunakan EPF (KWSP) anda..ambil peluang ni untuk tingkatkan wang persaraan anda semasa bersara nnti.. maklumat lanjut untuk melabur menggunakan EPF bole hubungi saya..

No comments: