Saturday, August 2, 2008


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


KEJAYAAN tidak akan muncul secara mendadak tetapi datang apabila seseorang itu tidak mudah mengaku kalah, sentiasa berusaha, mempunyai semangat tinggi dan bersikap positif walau diuji pelbagai cabaran.Begitu juga dengan adik-beradik yang berasal dari Ipoh, Nor Akmar Hanif, 30, dan Aida Nurlin, 26, yang tidak pernah mengenal erti penat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya sebagai perunding saham amanah.


Pada usia muda, kedua-duanya hidup mewah dengan memiliki pendapatan lima angka setiap bulan. Nor Akmar dan adiknya masing-masing sudah tujuh dan lima tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan saham amanah.Nor Akmar yang memiliki ijazah kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) pada 1999, mula menceburi bidang perniagaan itu kerana minat yang tinggi untuk berjaya.


Katanya, beliau memang berminat untuk menjadi seorang ahli perniagaan kerana mahu berdikari selain sukakan cabaran.“Saya percaya lebih hebat cabaran itu, lebih besar pulangannya. Maka bidang ini paling sesuai dengan jiwa saya,” katanya.


Walaupun mempunyai latar belakang kelulusan akademik yang berbeza daripada bidang perniagaan, beliau tidak menjadikan ia sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang perniagaan saham amanah.“Sesiapapun tidak harus rasa terikat dengan latar belakang pelajaran mereka. Hanya kerana belajar dalam satu bidang, tidak semestinya tidak boleh berjaya dalam bidang lain yang diminati seperti perniagaan.“Untuk berjaya dalam bidang ini, latar belakang pelajaran tidak penting tetapi sikap dan semangat untuk maju itu yang menentukan hala tuju hidup. Sikap positif mahu berjaya menyumbang 80 peratus kepada kejayaan individu.“Selain itu, sikap mudah belajar, ada semangat berterusan bukannya sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, amat penting,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.Nor Akmar dan Aida Nurlin Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat Platinum Wealth Advisors yang disokong sebuah bank terkemuka. Pejabat dua ahli perniagaan muda itu bertempat di Dataran Ara Damansara, Petaling Jaya.


Sementara itu, Aida Nurlin yang juga lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuarial, mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan saham amanah sejak masih menuntut di universiti itu lagi.Semangat yang tidak pernah luntur untuk menjadi terbaik dan membina kejayaan dalam hidup, mendorongnya terus berusaha walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan kerjaya sebagai perunding saham amanah.Aida berkata, bidang itu terbuka luas dan menyediakan peluang bagi sesiapa saja yang hendak berjaya, tidak gentar menghadapi cabaran serta mempunyai minat mendalam untuk maju dan tidak jemu berusaha.


Katanya, bidang perniagaan saham amanah mampu memberikan pendapatan lebih 10 kali ganda berbanding bekerja makan gaji.“Jika seseorang itu mahu lebih cabaran, laparkan kejayaan dalam hidup dan berasa wang yang mereka terima pada masa ini tidak setimpal dengan beban kerja yang terpaksa digalas, maka bidang ini sesuai untuk mereka,” katanya.


Sehingga kini, Akmar dan Aida sudah menerima lebih 100 anugerah pengiktirafan daripada sebuah bank terkemuka berikutan prestasi mereka yang cemerlang sebagai perunding saham amanah.Aida berkata, mereka bersyukur dengan rezeki yang ada kerana ia membolehkan mereka berpakaian cantik, sering bercuti ke luar negara dan menyara kedua-dua ibu bapa dengan sebaiknya.“Sepanjang kerjaya ini, saya menjalaninya dengan gembira, sentiasa bersemangat dan puas hati. Yang penting kita perlu ada rasa cinta pada apa yang kita buat,” katanya.Katanya, syarat bagi sesiapa yang ingin berjaya dalam bidang itu adalah mempunyai semangat untuk berjaya, sukakan cabaran dan cepat belajar.“Syarikat kami juga banyak membuat program mengasah bakat bagi melahirkan perunding saham amanah yang berjaya.


Kami gembira dapat membantu orang kerana ia mengubah diri mereka menjadi lebih baik.“Bukan saja dari segi ekonomi, malah personaliti dan tahap keyakinan diri juga akan meningkat apabila seseorang itu berjaya dalam hidupnya,” katanya.Beliau berkata, syarikatnya memberi tumpuan lebih pada melatih individu berminat sebelum terus menjalani praktikal untuk berjumpa pelanggan dan menjalankan perniagaan saham amanah.“Tapi mereka perlu mendapatkan lesen daripada Persekutuan Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM) sebelum layak menjalankan tugas sebagai perunding saham amanah,” katanya.

No comments: