Thursday, August 21, 2008

Saham dalam jajaran kecil

Saham dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR 29 Jun - Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus bergerak dalam jajaran kecil minggu depan ekoran kebimbangan tentang harga minyak mentah yang semakin melambung dan kekurangan petunjuk baru untuk memacu pasaran, kata peniaga.

Mereka berkata, memandangkan harga minyak mentah mencecah ketinggian baru pada AS$142 setong semalam, ada kemungkinan ia akan meningkat lagi dengan wujudnya ketegangan geopolitik di kalangan negara-negara pengeluar minyak yang menjejaskan bekalan dunia.

"Harga minyak yang semakin meningkat akan juga menyebabkan kadar inflasi meningkat dengan pesat dan menghalang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

"Harga minyak melonjak lebih daripada 45 peratus tahun ini," kata mereka.

Dengan krisis subprima AS yang masih belum menunjukkan tanda- tanda akan reda, kenaikan harga minyak mentah akan melembapkan lagi ekonomi global dan menjejaskan, bukan sahaja negara maju, malah juga rantau ini, termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, kata seorang peniaga, bursa tempatan dijangka mendapat rangsangan daripada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang akan menerima suntikan dana tambahan sebanyak RM30 bilion bagi tempoh hingga akhir rancangan itu.

Dana tambahan itu bertujuan menampung kos bahan binaan serta bagi keutamaan baru seperti pembangunan koridor dan pengeluaran makanan yang mencukupi.

"Kita akan terus menyaksikan minat terhadap saham-saham perladangan dan yang berkaitan minyak dan gas yang prospeknya kelihatan cerah.

"IKKL dijangka bergerak di antara 1,180 dengan 1,230 mata minggu depan," katanya.

Bursa tempatan memulakan dagangan minggu ini pada paras lebih rendah dengan kegiatan mengambil untung di kaunter-kaunter mewah terpilih apabila pelabur mengambil kesempatan daripada kenaikan Jumaat.

Pasaran meningkat pada hari Selasa dan Rabu.

Bagaimanapun, ia gagal bertahan apabila harga minyak mentah global mencecah ketinggian baru bagi dua hari berturut-turut iaitu pada paras AS$140 dan AS$142 setong menjelang hujung minggu.

Berbanding Jumaat lepas, IKKL turun 16.13 mata minggu ini kepada 1,190.54 daripada 1,206.67.

Indeks Perusahaan susut 22.5 mata kepada 2,565.0, Indeks Kewangan turun 27.73 mata kepada 8,819.63 manakala Indeks Perladangan jatuh 139.92 mata kepada 7,877.94.

Bagi siri Indeks Financial Times Stock Exchange-Bursa Malaysia (FTSE-BM), FBMEmas turun 92.52 mata kepada 7,935.39, FBM30 susut 103.06 mata kepada 7,689.64 manakala FBM2BRD menokok 9.94 mata kepada 5,527.73 dan FBM-MDQ meningkat 55.85 mata kepada 4,392.79.

Jumlah dagangan mengecil kepada 1.961 bilion saham bernilai RM4.733 bilion daripada 2.125 bilion saham bernilai RM5.152 bilion Jumaat lepas.

Di Papan Utama, jumlah dagangan susut kepada 1.621 bilion unit bernilai RM4.693 bilion berbanding 1.784 bilion unit bernilai RM5.044 bilion sebelumnya.

Papan Kedua mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 89.882 juta saham bernilai RM68.701 juta daripada 112.273 juta saham bernilai RM77.407 juta Jumaat lepas.

Dalam pasaran Mesdaq, jumlah dagangan meningkat kepada 118.876 juta unit bernilai RM28.076 juta daripada 105.642 juta unit bernilai RM24.468 juta sebelumnya.

Waran opsyen belian bertambah kepada 131.755 juta saham bernilai RM5.013 juta daripada 103.237 juta saham bernilai RM1.158 bilion minggu lepas.

Urus niaga langsung bertambah kepada kepada 401.265 juta unit bernilai RM451.98 juta daripada 266.801 juta unit bernilai RM1.487 bilion sebelumnya.

- Bernama

No comments: