Thursday, August 21, 2008

Kemelut politik tidak jejaskan potensi Malaysia

Kemelut politik tidak jejaskan potensi Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ketidaktentuan dalam senario politik tempatan dilihat tidak akan menjejaskan potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan dalam pasaran negara-negara baru muncul.

Pengarah Eksekutif Principal Global Investor, Tim Dunbar mendakwa, di dalam dunia pelaburan, aspek keuntungan merupakan faktor paling penting yang mendahului perkara-perkara lain.

Beliau berkata, politik bukan risiko utama dalam pelaburan kerana secara teorinya pelaburan itu sendiri memang suatu aktiviti mencari keuntungan yang berisiko.

''Meskipun Malaysia tidak pernah mengalami dalam perubahan politik seperti mana hari ini tetapi situasi politik negara secara umumnya masih baik.

''Sebab itu, saya berpendapat iklim pelaburan di Malaysia masih efisien dan berpotensi,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media mengenai peluang-peluang pelaburan dalam pasaran baru muncul global.

Dalam taklimat itu, Dunbar berkata, negara-negara baru muncul merupakan pasaran baru yang cukup berpotensi untuk diterokai oleh para pelabur.

Sambil enggan menamakan negara yang memiliki pasaran pelaburan terbaik, beliau berkata, negara-negara baru muncul akan menjadi pasaran yang begitu menguntungkan dalam tempoh tiga dan empat tahun lagi.

Di antara faktor yang menjadikan pasaran ini sebagai lokasi pelaburan strategik adalah pengeluaran komoditi yang kukuh harganya, pertumbuhan dalam rizab pertukaran wang asing, struktur inflasi yang rendah dan tidak terjejas dengan krisis subprima di Amerika Syarikat, kata beliau.

Katanya, negara-negara baru muncul itu juga mempunyai imbangan akaun sebanyak satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

No comments: