Thursday, August 21, 2008

Kejatuhan harga sementara

Kejatuhan harga sementara

KUALA LUMPUR 19 Jun - Ketidakstabilan politik negara berikutan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP), parti komponen dalam Barisan Nasional mahu mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, tidak menjejaskan pasaran tempatan.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan apa yang berlaku hanya fenomena sementara dialami oleh pasaran saham yang turut mudah terjejas dengan isu-isu semasa seperti politik dan juga kesan daripada pasaran saham serantau.

Nor Mohamed berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pasaran Modal Islam Malaysia, di sini hari ini.

Beliau yakin bahawa Malaysia mampu untuk menghadapai apa juga cabaran kerana mempunyai dasaran ekonomi yang kukuh dan fleksibel.

''Meskipun ada berlakunya turun naik harga di pasaran ekuiti (saham) pada masa sekarang tetapi kita akan dapat atasi cabaran itu, saya tidak nampak sebarang masalah dalam perkara ini kerana dasaran ekonomi dan pertumbuhan pendapatan kita baik dan kukuh," katanya.

''Tiada isu tentang ketidakstabilan politik meskipun SAPP tidak menyokong kerajaan tetapi mereka adalah kumpulan yang kecil dan mereka tidak akan memberi sebarang masalah kepada kerajaan dan juga kepada Perdana Menteri,'' katanya.

Pada sidang akhbar semalam, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee mengumumkan tindakan untuk mengemukakan usul berkenaan di Parlimen minggu depan yang akan disokong oleh dua anggota Parlimennya Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau).

No comments: