Saturday, August 2, 2008

Tips memilih Pelaburan Public Mutual

Panduan asas memilih dana unit amanah yang betul

“Dana yang mana patut saya pilih?”
merupakan soalan lazim di kalangan pelabur unit amanah. Memilih dana yang betul bukanlah mudah. Bagaimanapun, panduan asas yang disediakan di sini boleh membantu menentukan dana paling bersesuaian dengan anda.

Adakah anda tahu mengapa anda melabur?
Setiap pelabur mempunyai keperluan dan objektif pelaburan yang berbeza-beza. Sesetengah pelabur melabur sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan, manakala sebahagian yang lain melabur sebagai tabungan pendidikan anak-anak. Sebagai pelabur, anda mesti jelas mengenai objektif pelaburan anda. Ini membantu anda menentukan dana yang tepat untuk anda. Misalannya, jika anda mencari satu sumber pendapatan tetap, anda mungkin TIDAK MAHU melabur dalam unit amanah yang sasarannya adalah untuk memperoleh untung modal.

Ketahui profil risiko anda
Setelah menetapkan objektif, buat penilaian terhadap profil risiko anda. Dalam pelaburan, risiko bermakna kemungkinan mengalami kerugian. Setiap pelabur mempunyai profil risiko yang berbeza. Sesetengah pelabur bersedia mengambil risiko yang tinggi manakala sebahagian lagi tidak. Sebagai pelabur, anda mesti sentiasa menilai profil risiko anda dan benar-benar memahami berapa banyak risiko yang anda boleh ambil, atau lebih jelas lagi, berapa banyak kerugian yang anda bersedia tanggung. Dana yang berlainan mempunyai tahap risiko yang berbeza dan sentiasa ingat bahawa pulangan yang tinggi bermakna risikonya pun tinggi. Kebolehan untuk benar-benar mengetahui dan memahami profil risiko anda adalah amat penting. Kebolehan itu memberikan anda penumpuan dan boleh menghalang anda daripada terpengaruh dengan pelbagai brosur berwarna-warni dan janji-janji ejen anda yang boleh mendorong anda memilih dana yang tidak sesuai dengan anda.

Buat kajian
Setelah anda pasti mengenai objektif pelaburan dan profil risiko anda, tibalah masanya untuk anda mendapatkan semua maklumat yang berkenaan. Sumber maklumat anda boleh diperoleh daripada yang berikut:

* Prospektus
Ini ialah dokumen penting untuk pelabur unit amanah. Malangnya, kebanyakan pelabur tidak ambil berat untuk membaca kandungan prospektus dan lebih suka bergantung kepada ejen untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai sesuatu dana. Jika anda mahu menjadi pelabur yang serius, dinasihatkan supaya anda membaca prospektus kerana sebahagian besar maklumat asas, contohnya objektif dana, kelayakan dan pengalaman pengurus dana, yuran dan caj, serta maklumat lain yang berkaitan, ada dalam prospektus. Anda boleh mendapatkan prospektus daripada syarikat pengurusan unit amanah. Selain itu, perpustakaan SIDC yang terbuka kepada orang awam, mempunyai set lengkap semua prospektus dana unit amanah. Silalah ke perpustakaan tersebut.

* Akhbar
Akhbar merupakan sumber maklumat paling mudah diperoleh oleh pelabur unit amanah. Biasanya, akbar memaparkan berita dan data mengenai dana unit amanah.

* Perancang kewangan
Konsep ini masih baru di Malaysia. Perancang kewangan sepatutnya boleh membantu anda menentukan dana yang paling bersesuaian untuk membuat pelaburan. Tetapi jika anda bercadang menggunakan khidmat mereka, tanya dulu sama ada mereka itu perancangan kewangan bebas atau sebaliknya. Perancang kewangan bebas mungkin menerima komisen bagi produk yang mereka cadangkan. Sebagai pelanggan, anda patut diberitahu mengenainya dan anda tidak sepatutnya dipaksa melabur dalam produk tersebut.

No comments: