Thursday, August 21, 2008

Isu politik pengaruhi pasaran saham

Isu politik pengaruhi pasaran saham

KUALA LUMPUR 18 Jun - Bursa saham tempatan hari ini menyaksikan kejatuhan sebanyak dua angka disebabkan harga minyak yang kekal tinggi dan ketidaktentuan dalam senario politik di negara ini.

Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) merosot sebanyak 15.17 mata kepada 1,212.59 mata. Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 530 berbanding 150 manakala 237 kaunter tidak berubah.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek AlHaj Ali berkata, kejatuhan IKKL disebabkan oleh sentimen pelabur terhadap harga minyak yang terus berlegar pada paras AS$130 selain perkembangan terkini politik tempatan.

Hari ini, Komponen Barisan Nasional (BN), Parti Maju Sabah (SAPP) mengatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersedia untuk menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu.

Katanya, isu politik adalah penting kepada para pelabur dan perkembangan terbaru itu telah menjurus kepada perkara yang tidak baik kepada pasaran.

Alsetdek berkata, jumlah dagangan yang masih rendah menggambarkan pelabur berada dalam situasi tunggu dan lihat."

Beliau juga berkata, para pelabur juga bimbang dan terganggu dengan khabar angin yang mengatakan krisis subprima mampu berlaku di Malaysia.

"Selain itu, isu kenaikan gaji bagi pegawai tinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) tidak sepatutnya timbul di tengah-tengah kemelut harga minyak dan inflasi makanan.

"Pelabur sedang mencari hala tuju dalam pasaran dan kini mereka diganggu oleh isu-isu dalaman," katanya.

Alsetdek seterusnya menjangkakan ketentuan faktor kepada pasaran akan berlarutan dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan akan datang.

No comments: