Saturday, August 2, 2008

Artikel dari Bernama

Industri unit amanah salur dana dalam pasaran modal

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Industri unit amanah berperanan penting menyalurkan dana ke pasaran modal dan mempunyai potensi yang cukup besar untuk berkembang pada masa kini, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Dr Ng Yen Yen hari ini.

Memandangkan kadar simpanan di negara ini adalah lebih tinggi berbanding negara maju, katanya industri unit amanah berupaya menarik sebahagian daripada deposit ini dan bakal membawa kenaikan ketara kepada pasaran modal.Bagi tahun 2006, adalah dianggarkan kira-kira RM279 bilion disimpan di dalam sistem perbankan di Malaysia oleh individu dan institusi, katanya ketika berucap pada pelancaran ASM Global Diversified Structured Fund di sini.“Malaysia mempunyai kadar simpanan yang tinggi kira-kira 35 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak tahun 2000. Ia adalah lebih tinggi berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun,” katanya.

Ng berkata, keadaan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh dan tahap pendapatan yang turut meningkat, kadar simpanan dan pelaburan terus mantap, ia turut menyumbang kepada pertumbuhan yang memberangsangkan bagi industri unit amanah negara.“Sehingga 31 Jun, jumlah nilai aset bersih tabung unit amanah di pasaran bernilai RM146.6 bilion, bersamaan dengan 13.47 peratus daripada pasaran modal Bursa Malaysia.“Walaupun peratusan ini semakin meningkat, namun ia masih terlalu jauh untuk disamakan dengan pencapaian 40 peratus di pasaran modal negara maju,” katanya.

Bagi menarik lebih ramai pelabur dalam unit amanah, Ng berkata syarikat pengurusan unit amanah dan aset perlulah memperkenalkan lebih banyak produk inovatif seperti produk pelaburan berstruktur atau produk perlindungan prinsipal.Buat masa ini, terdapat lebih kurang 10 produk pelaburan berstruktur yang menawarkan perlindungan modal kepada para pelabur, katanya.Selain itu, pemain industri perlu berperanan untuk mengisi ruang yang wujud di pasaran dengan mengembangkan rangkaian produk dengan mempakejkan produk dengan spektrum risiko dan pulangan tertentu serta disesuaikan dengan kehendak para pelabur masing-masing, kata Ng.– Bernama -

No comments: